Rabu, 25 Disember 2013

Wordlees Wednesday terakhir 2013


Assalamualaikum. Salam bahagia.

Wordless Wednesday kali ini saya sertakan juga sedikit entri. Ringkas - ringkas sahaja. Maklumlah , oleh kerana paparan terakhir untuk WW 2013 ini , hendak juga rasa ada kenangannya :)

Baiklah , Wordless Wednesday yang terakhir ini, saya tidak akan memapar gambar - gambar pilihan kejadian sepanjang 2013 . Tetapi hanya beberapa gambar suasana keadaan persekitaran yang berhampiran dengan saya sahaja.

Dan tidak ketinggalan juga, gambar - gambar yang terdapat di dalam blog ini , sebahagiannya akan saya galerikan untuk tatapan semua.

Okay. Sebagai pembuka selera :)

YANG INDAH - INDAH jer...









*Sebahagian gambar di dalam blog saya:
















P/s : okay. Nampaknya itu sahaja yang dapat saya atur dan paparkan ya. Kepada kenalan blogger semua , insyaallah kita bertemu lagi pada tahun hadapan. Sedia maklum , hari pertama memulakan Tahun Baharu 2014 nanti adalah hari Rabu 1 Jan 2014 . Jadi bermakna kita akan memulakannya di laman maya ini dengan Wordless Wednesday :).

Okay. Sekian Wassalam dan bertemu lagi Insyaallah. Bye :)

Ahad, 17 November 2013

Hadiah Istimewa

Assalamualaikum. Salam bahagia.

Mungkin setakat ini , menerima hadiah nilai ratusan ribu ringgit sebuah Minie Cooper oleh adik Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila pemilik 5A dalam UPSR baru-baru ini di Negeri Che Siti Wan Kembang itu adalah yang paling menakjubkan.

Tetapi berbeza dengan M Tinesh, pelajar Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar Rasah, telah memilih untuk memiliki hadiah 'hakiki' daripada bapanya.

UPSR 2013 , pastinya merubah diri M Tinesh buat selama-lamanya. Kerana - Berkhatan adalah pilihannya.

Mungkin ada yang berbisik - 'tidak ada hadiah lain ke nak di mintanya. Bukan Islam pun??'

Namun , atas faktor kebersihan dan kesihatan yang di yakini, adalah ilmu yang menjadi dasar kesungguhan M Tinesh merealisasikan buat diri sebagai hadiah yang istimewa.


P/s : moga di berikan Taufiq dan Hidayah - Insyaallah


----- ----- -----


BERTA HARIAN

NASIONAL

Pelajar India minta berkhatan hadiah UPSR

2013/11/17

Seremban: Walaupun bukan beragama Islam, seorang murid Tahun Enam, meminta kebenaran keluarganya untuk berkhatan sebagai hadiah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

M Tinesh (gambar kecil), 12, yang belajar di Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar Rasah di sini, menjadi satu-satunya peserta bukan Islam menyertai program berkhatan beramai-ramai di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), semalam.



Menegaskan tindakan itu bukan dipengaruhi pihak lain, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia menyimpan keinginan berkhatan selepas memahami kebaikan proses itu yang menjamin kebersihan diri dan mengelak banyak penyakit.

Katanya, hasrat itu disuarakan kepada bapanya sejak tahun lalu dan dapat direalisasikan tahun ini sebagai hadiah memperoleh keputusan 2A, 2B dan 1C dalam UPSR diumumkan, Khamis lalu.

“Saya teruja dan gembira kerana impian terlaksana tanpa halangan keluarga, malah mereka memberi galakan kepada saya.

Beri galakan kepada anak
“Sebelum berkhatan, ramai rakan memberi semangat supaya tidak takut. Tapi ada juga yang mengejek saya, namun itu semua tidak melemahkan semangat,” katanya yang tidak sabar untuk sembuh supaya dapat bermain dengan rakan.

Bapanya, A Maheysan, 47, berkata dia memberi galakan kepada anaknya kerana menyedari kebaikan amalan itu dalam aspek kesihatan.

“Saya membesarkan anak dalam persekitaran masyarakat Melayu dan menghormati amalan mereka. Malah, saya memahami kebaikan di sebalik amalan berkhatan dan mahu menjadikan amalan ini sebagai tradisi keluarga,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki bongsu.

Sementara itu, Pengarah HTJS, Datuk Jaafar Che Mat, berkata 27 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai program kali ketiga dianjurkan hospital itu.

“Program ini dilakukan mengikut tradisi Melayu, dimulakan dengan paluan kompang sebelum mereka dimandikan beramai-ramai. Namun kita tiada sungai di sini, tapi kita gantikan dengan pancutan air oleh bomba.

“Tidak kira apa jua bangsa, amalan berkhatan sesuai dilakukan untuk menjaga kesihatan diri. Saya gembira semakin ramai orang bukan Islam menyedari kebaikannya,” katanya.




Jumaat, 15 November 2013

42,646

Assalamualaikum. Salam bahagia.

'Terima kasih cikgu'

'Terima kasih ibu ayah'

Begitulah lafaz - lafaz kesyukuran yang kedengaran daripada lepasan-lepasan UPSR 2013 yang telah mendapat keputusan cemerlang dan juga yang lulus. Setelah fokus berhempas pulas sehampir 5 hari menguji minda , kini masanya untuk mereka mengetahui kemampuan IQ masing-masing.




'Terima kasih ya anak-anak'

'Terima kasih ya murid-murid'

Mungkin itulah juga yang terlafaz dari kegembiraan ibu ayah serta para guru kepada anak - anak merangkap pelajar yang terlibat menduduki UPSR tahun ini.

Di beritakan , pencapaian untuk kali ini adalah yang terbaik sepanjang 4 tahun.


https://pbs.twimg.com/media/BZEhKaXCcAEXKz2.jpg


Harusnya, khabar gembira buat pemimpin nombor satu, YAB Perdana Menteri kerana tentunya ia adalah berita baik untuk Negara.

"@NajibRazak: Tahniah buat pelajar-pelajar yg mendapat keputusan cemerlang dlm UPSR. Nikmati masa cuti ini sepenuhnya sebelum masuk ke sekolah menengah."
- Ucapan beliau di laman Tweeter


P/s: bagi pelajar dan ibu bapa yang tidak kesampaian (muslim / non-muslim) , masih perlu tetap bersyukur ya - terkandas di sini , selain boleh berusaha lagi ,adanya kejayaan yang menunggu di sudut yang lain (InsyaaAllah)

----- ----- -----

KOsMO

14/11/13

UPSR 2013 terbaik dalam empat tahun - KP Pendidikan

PUTRAJAYA - Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud hari ini.

Beliau berkata, seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).

"Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat dari 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).

"Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini hari ini.

Abd Ghafar berkata, seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu. - Bernama

Selasa, 12 November 2013

Bros - bukan 'sis'

Assalamualaikum. Salam bahagia.

Seorang Jurutera dan seorang lagi arkitek. Kedua-duanya juga adalah bekas pensyarah. Kini, kepakaran mereka berdua ini dihalakan pula ke satu lagi bidang yang tidak kurang juga memerlukan sentuhan kemahiran bidang mereka, iaitu Kek.

Ya. Bukan mudah untuk menghiaskan kek dengan tampalan-tampalan krim serta berbagai lagi eksesorinya. Kerana itulah seorang jurutera diperlukan untuk proses pemasangannya. Dan peranan seorang arkitek pula amat di perlukan untuk merangka sebelum membina satu-satu kek itu.

Maka, untuk menyiapkan sebiji kek memerlukan kepakaran Saifullizam Mohammad dan Mohd. Syukri Isa.



Gambar Utusan Arkib


ARKIB : 08/11/2013

UtusanOnline

Pecah tradisi

SEMEMANGNYA wanita lebih sinonim dengan bidang pembuatan kek. Namun apabila kemahiran ini dinilai pada lelaki hasilnya memang sukar untuk dibuat perbandingan.

Cake Bros membuktikan fakta ini apabila setiap kek yang dihasilkan dua sahabat ini, Saifullizam Mohammad, 33, dan Mohd. Syukri Isa, 29, memang mempersonakan mata setiap yang memandangnya.

Lebih memeranjatkan mereka bukanlah chef atau pernah menghadiri mana-mana kelas kulinari.

Secara profesional mereka sebenarnya jurutera dan arkitek bertauliah yang juga bekas pensyarah, yang pada awalnya hanya mahu memulakan satu perniagaan sampingan tanpa memerlukan modal besar.

"Idea kami menubuhkan Cake Bros berputik ketika masing-masing bertugas sebagai pensyarah di Melaka. Selepas kuliah, kami banyak masa terluang dan mula mencari apa jenis perniagaan yang boleh kami usahakan bersama dengan modal yang rendah.

"Pelbagai idea dicadangkan termasuk menternak ikan keli, menanam cili dan sebagainya. Akhirnya kami fikir membuat kek adalah yang paling senang dan murah.

"Bermodalkan RM100 seorang dan meminjam mesin pengadun serta ketuhar emak saya, kami mulakan kek pertama dengan menyahut cabaran seorang jiran yang mahu kami menghasilkan kek keju untuk majlis hari jadi anaknya," cerita Mohd. Syukri sambil diakui sahabat baiknya, Saifullizam.

Lebih mengejutkan, mereka berdua bukanlah penggemar kek dan tidak pernah terfikir untuk membuat kek, semuanya dimulakan dengan sedikit penyelidikan di Internet dan buku masakan.

"Kek pertama, kami sendiri pun tidak sempat rasa tetapi selepas jiran kami dan tetamu memuji keenakannya, kami jadi bersemangat.

"Pujian tersebut bagai satu suntikan untuk kami meneruskan projek kek. Kami belajar tentang dekorasi kek menerusi YouTube. Selepas itu tempahan demi tempahan kami terima sehingga turut diminta membekalkan kek ke koperasi kolej.

"Kek untuk perkahwinan sebenarnya bermula tahun 2009. Kek pertama kami buat untuk perkahwinan seorang rakan pejabat.

"Kek tiga tingkat itu memang mendapat maklum balas yang amat baik menjadikan kami semakin serius dengan perniagaan yang ketika itu diberi nama Passionbite Sdn. Bhd.," kata Mohd. Syukri lagi.

Reka bentuk

Nama pun arkitek dan jurutera, maka walaupun bidangnya kini pembuatan kek, prinsip reka bentuk dan keseimbangan tetap diimplementasi dalam pembuatan kek.

"Seperti seorang arkitek, mulanya kami akan buat lakaran kek atas kertas. Kemudian kami tentukan warna yang biasanya ringkas dan tidak rumit.

"Bagi kek bertingkat memang kami pastikan struktur 'piling' yang betul. Kadang kala kami gunakan penyukat air untuk memastikan kek tidak senget.

"Boleh dikatakan skil kejuruteraan itu memang tetap diaplikasi dalam pembuatan kek," kata Saifullnizam.

Di kelas membuat kek pula, mereka turut memperkenalkan diri sebagai jurutera dan arkitek dengan imej memakai topi keselamatan.

"Kami rasa kami tidak layak pun untuk memakai topi chef kerana kami bukan chef. Kami juga mahu memperkenalkan jenama Cake Bros kerana biasanya pelanggan yang emel kepada kami akan menggunakan perkataan 'sis', jadi dengan nama Cake Bros kami harap mereka tahu kami bukan perempuan tetapi lelaki," jelas Mohd. Syukri yang masih bujang.

Kerana tidak mampu lagi memberi fokus kepada dua kerjaya serentak, akhirnya dua sahabat ini mengambil keputusan berhenti dari menjadi jurutera dan arkitek.

"Penghujung tahun lalu Kami ambil keputusan fokus 100 peratus kepada perniagaan apabila tempahan diterima memang tidak menang tangan.

"Bayangkan, jualan sebulan mencecah hingga RM17,000. Hujung minggu memang kami tidak tidur dan kalau dapat lelap sejam pun sudah mencukupi.

"Produksi mula setiap hujung minggu dan kami hanya dapat rehat pada hari Isnin dan Selasa," katanya yang turut menyediakan kek perkahwinan selebriti seperti Nabil Raja Lawak dan Diana Amir.

--- --- ---

P/s : kepada pembaca dan rakan-rakan blogger yang di kasihi sekelian, alhamdulillah kini ruang komen blog saya sudah BEBAS dari Word Verification.

Saya ingin mohon maaf ya, kerana sebelum ini ia sangat menyulitkan apabila untuk menulis komen. Kerana ada sedikit masalah teknikal.

Okay itu jer. Terima kasih ya kepada semua pembaca dan yang sudi memberi komen :)